Bagaimana
Memupuk Patriotisme......??
Menghadapi keadaan
di atas, bagaimanakah patriotisme dapat dipupuk dan diterapkan di kalangan
generasi muda kita?
Bagi generasi muda
di Malaysia, idea patriotisme termaktub di dalam Dasar Pembangunan Belia Negara
(sebelum 1997, Dasar Belia Negara) dan mendasari Program Khidmat Sosial Negara
(PKSN) yang diperkenalkan pada lewat 1990-an.
Kini dalam Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dikelolakan kerajaan di bawah Kementerian
Pertahanan. Dalam dasar dan melalui program ini peningkatan patriotisme
dan semangat kesukarelawanan digalakkan melalui kerja-kerja amal,
kebajikan dankemasyarakatan. Melalui kegiatan-kegiatan tersebut
perasaan simpati, bertimbang rasa dan cinta kepada bangsa dan negara akan
bercambah dan berkembang.
Dalam perkara ini,
pertubuhan-pertubuhan belia dan sukarela yang lain harus memainkan peranan
aktif mereka. Seluruh prasarana, struktur, dan rangkaian kerja belia yang
telah wujud sekian lama boleh dimanfaatkan sebaiknya. Dengan
program-program yang menarik dan yang boleh mendatangkan kesan positif,
para remaja belia kita sepatutnya dapat digemblengkan untuk kegiatan-kegiatan
demikian.
Satu kegiatan lain
yang boleh dipertimbangkan ialah pendidikan kepenggunaan. Ini
bertujuan menyedarkan belia agar menjadi pengguna yang baik dan
berhemat. Isu kepenggunaan amat penting bagi generasi muda kerana mereka
sering merupakan sasaran penting pihak industri dan pengeluar
barangan. Pelbagai bentuk tarikan, nilai dan selera baru dicipta atau
diadakan untuk mempengaruhi dan memperdaya remaja belia agar membeli atau terus
berbelanja. Itu sebabnya jika pendidikan kepenggunaan dapat dijadikan
suatu program utama dan tersebar luas di kalangan remaja belia ia mampu
membantu pembangunan ekonomi kita di samping memanfaatkan kehidupan remaja
belia sendiri.